©Berita Harian (Digunakan dengan kebenaran)APABILA meneliti Perlembagaan Persekutuan, kita dapati dalam perlembagaan wujud lima perkara asas yang tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan. Apakah lima perkara asas itu? Ia membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk pribumi Sabah dan Sarawak, hak kewarganegaraan, kedudukan agama Islam dan bahasa kebangsaan.Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut kelima-lima perkara asas itu sebagai politik perlembagaan yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid. Ia dimasukkan dalam Perlembagaan selepas berlakunya proses perundingan, permuafakatan atau kata sepakat secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum di negara ini ketika itu. Hakikatnya, kelima-lima perkara itu adalah satu bentuk kontrak sosial yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Menurut Dr Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya, kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British.